Khaulah binti Sa’labah

KHAULAH binti Sa’labah adalah antara golongan wanita Ansar pertama memeluk Islam semenjak Islam tiba di Madinah. Beliau seorang yang sangat bijaksana, fasih dan indah ketika berbahasa dan berbicara.

Hidupnya diabadikan dengan beribadat kepada Allah dan Rasul-Nya. Suaminya merupakan Aus bin Samit, saudara kandung Ubadah bin Samit dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Arabi.

Khaulah adalah contoh wanita yang baik dan isteri yang setia terhadap suaminya. Sehinggalah terjadi satu peristiwa, Khaulah tidak membenarkan suaminya mendekatinya sebelum turun hukum Allah atas perbuatan suaminya itu yang menyamakan belakang (badan) dirinya sama seperti belakang ibu Aus.

Perbuatan ini dikenali sebagai zihar dalam Islam.

Ucapan “kamu seperti belakang ibu saya” adalah sebahagian dari adat zaman jahiliah kerana dengan ucapan itu, isteri yang disamakan itu dengan sendirinya haram untuk disentuh!

Ini menjadikan si isteri seperti digantung tidak bertali. Ini kerana jika hendak berkahwin lain, si isteri belum menjadi janda dan dalam masa yang sama, si isteri tidak lagi mempunyai hak terhadap suami dan anak, selain tidak ada hak dalam hubungan kekeluargaan.

Begitulah buruknya perbuatan zihar ini. Lalu Khaulah mendesak Nabi Muhammad supaya segera memberi keputusan yang sesuai mengikut hukum Allah mengenai kejadian yang menimpanya itu. Ini adalah kerana dia masih mahu rumahtangganya kekal dan anaknya terpelihara dengan baik.

Beliau tidak mahu berpisah suaminya yang telah tua walaupun mempunyai perlakuan yang kasar, panas baran, suka menengking dan tidak memiliki peribadi yang mulia terhadap ahli keluarganya.

Namun Khaulah tetap melayani suaminya dengan baik.

Namun, apabila pada suatu hari suaminya itu pulang dan ingin bersama dengan isterinya itu, namun permintaannya itu telah ditolak mentah-mentah oleh Khaulah disebabkan perbuatan zihar yang pernah dilakukan oleh Aus.

Ini menjadikan si suami begitu marah dan mula mengeluarkan kata-kata kesat dan yang kurang disenangi oleh Khaulah.

“Wahai Khaulah, kamu seperti punggung ibu saya!” kata Aus dengan nada geram lalu keluar dari rumahnya.

Walaupun Aus telah keluar dari rumah dengan hati yang marah namun beliau pulang semula ke rumah bagi meneruskan juga niat di hatinya itu.

“Jangan kamu menolak kemahuan saya ini, sila ikut saya ke bilik tidur,” kata Aus sambil memaksa isterinya masuk ke dalam bilik tidur.

“Tidak, demi jiwa saya yang berada dalam kekuasaan Allah, tidak sekali-kali saya membenarkan kamu menjamah tubuh saya selepas apa yang kamu katakan tadi sehingga ada hukum Allah dan Rasul-Nya yang memberi keputusan mengenai hubungan kita berdua!” ujar Khaulah dengan tegas.

“Saya tidak peduli!” jerit Aus sambil cuba menerkam ke arah isterinya itu.

“Tidak!” jerit Khaulah kembali lalu sempat menepis badan Aus sehingga suaminya itu jatuh ke lantai.

menyembah bumi

Aus terjatuh menyembah bumi kerana tidak dapat mengawal badannya yang sudah tua itu. Khaulah yang tidak mempedulikan suaminya lalu lari keluar dari rumah dan terus menuju ke rumah Rasulullah bagi mengadukan apa yang telah berlaku padanya itu.

Apabila tiba di rumah Rasulullah dan kebetulan baginda ada ketika itu lalu Khaulah pun menceritakan segala apa yang berlaku pada diri dan suaminya itu.

Khaulah mahu mendapatkan juga hukum agama dan berdialog dengan Rasulullah mengenai perkara itu.

“Suami kamu adalah anak bapa saudara kamu. Dia sudah lanjut usia. Maka sayangi dia dan takut pada Allah dalam urusannya,” kata Nabi Muhammad selepas mendengarkan keluhan Khaulah.

Khaulah mengulangi apa yang menimpa dirinya dan meminta pandangan nabi sama ada dia harus bercerai dengan suaminya itu. Namun Nabi berkata: “Saya belum mendapat wahyu berkaitan masalah kamu itu. Saya tidak melihat melainkan kamu sudah haram baginya (bercerai)”.

“Tetapi suami saya tidak menjatuhkan talak kepada saya!,” jawab Khaulah.

Nabi hanya mendiamkan diri selepas mendengar kata-kata Khaulah itu. Khaulah masih tidak berganjak dan terus mendesak Nabi sehingga turun ayat dari Allah bagi menyelesaikan masalahnya itu.

“Demi Allah, saya tidak akan pulang sehingga turun ayat al-Quran ke atas saya,” kata Khaulah berkeras dan tidak mahu meninggalkan rumah Nabi.

Namun Khaulah kemudiannya terus mengangkat tangan ke langit dengan hatinya penuh kesedihan dan kesusahan sehinggakan air matanya tidak berhenti-henti mengalir membasahi kedua-dua pipinya seolah-olah kesal dengan apa yang telah berlaku. Dia mengadu nasibnya kepada Allah.

Khaulah terus berdoa tanpa henti menunggu turunnya ayat al-Quran bagi menyelesaikan masalahnya dan tidak lama kemudian Nabi Muhammad pun memberitahu bahawa Allah telah menurunkan wahyu kepada baginda berhubung masalah Khaulah itu.

Iaitu baginda membacakan surah al-Mujadalah ayat 1 hingga 4 di hadapan Khaulah. “Suruh suami kamu memerdekakan seorang hamba bagi menebus kesalahannya menziharkan kamu itu,” perintah Nabi kepada Khaulah.

“Ya Rasulullah bagaimana mungkin, pada hal suami saya itu tidak mempunyai apa-apa pun,” jawab Khaulah.

“Kalau begitu, suruh suami kamu berpuasa dua bulan berturut-turut,” kata Nabi lagi.

“Bagaimana dia hendak berpuasa Ya Rasulullah sedangkan dia sudah tua dan tidak akan mampu untuk berpuasa apatah lagi secara berturut-turut,” kata Khaulah lagi.

“Bagaimana pula kalau dia memberikan makan kurma kepada 60 orang miskin?” tanya Nabi.

“Demi Allah! Dia tidak mempunyai apa-apa pun Ya Rasullah!,” kata Khaulah.

“Jika demikian, saya akan membantu dengan satu tandan kurma!,” kata Nabi menyatakan hasratnya untuk membantu Khaulah. “Saya pula akan menambahkannya dengan satu tandan yang lain,” kata Khaulah bagi membantu suaminya itu.

“Kamu merupakan seorang wanita yang sangat baik dan bijaksana. Sekarang bawalah setandan kurma dariku ini dan sedekahkan ia dan layanilah suami kamu dengan baik,” puji Nabi terhadap Khaulah.

Begitulah kisahnya seorang wanita yang mengadukan rayuannya kepada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Allah mendengar rayuannya dari langit yang tujuh lapis dan menurunkan ayat al- Quran untuk memberikan hukum mengenai perbuatan zihar itu.

2 responses to this post.

  1. Assalamualaikum. Lama dah bersawang blog ni. Akhirnya ada juga entri baru. Khaulah cantik namanya. Sesuai kalau untuk anak perempuan. Terima kasih berkongsi cerita yang bagus. Tak ramai orang tahu kisah ni.

    Reply

  2. keke….xsempat bro hasrul..nk dekat nk pekse neh..doa2kan ana..cite khaulah ni ade dlm kitab ana..di bawah tajuk zihar..ape2 pun..tq

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: